Komen Di Harian Metro 2 Feb 2015
Pasaran saham Bursa Malaysia tahun lalu dilihat begitu rancak dengan merekodkan jumlah dagangan saham mencecah lima bilion unit saham sehari. Sesetengah saham seperti Inari Berhad naik hampir 800 peratus dalam tempoh kurang dua tahun dengan kemuncaknya pada Ogos 2014.
Tahun lalu juga menyaksikan ramai pelabur baru terutama pelabur runcit berkunjung ke syarikat broker saham untuk membuka akaun urus niaga saham.
Bagaimanapun, kehadiran mereka bukanlah satu berita baik kerana terdapat sesetengah saham mula menunjukkan tanda penurunan yang agak ketara pada separuh kedua 2014. Lebih-lebih lagi selepas harga minyak mentah dunia turun daripada AS$100 ke paras bawah AS$50. Ini mengejutkan pelabur seluruh dunia dan sebahagian penganalisis mengunjurkan pertumbuhan dunia daripada baik kepada kurang baik bagi 2015.
Hujung 2014 meresahkan pelabur tempatan dan seluruh dunia kerana banyak saham yang terbabit dalam sektor minyak dan gas seperti Bumi Armada turun dari harga RM4 ke RM1. Begitu juga, situasi yang berlaku pada saham SKPETRO yang dikenali kukuh, stabil turut menerima kesan kejatuhan sebanyak 50 peratus harga sahamnya.
Sebahagian saham lain bukan turun sebaliknya kekal meneruskan aliran menaik sebagaimana yang berlaku pada saham Tenaga Nasional Berhad, MY E.G Services Berhad, Karex Berhad dan Unisem (M) Bhd. Ini contoh penting supaya pelabur faham bahawa tidak semua saham terkesan dengan berita buruk harga minyak mentah dunia yang turun.
Pelabur seharusnya fokus kepada pertumbuhan dan keadaan syarikat itu sendiri. Pendek cerita setiap saham ada ceritanya yang tersendiri apabila ia lebih penting daripada hal-hal sentimen yang lebih bersifat sementara dan berubah-ubah.
Keseluruhannya, Indeks Bursa Malaysia berjaya ditutup pada 1,761 mata dan menjadi penutup tahun tertinggi dalam sejarah Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) melebihi kemuncak tertinggi tahun 1993 walaupun pelbagai isu negatif dunia menguasai pasaran dunia pada hujung tahun lalu.
Kini sudah sebulan pasaran saham kita memasuki 2015 dengan indeks Bursa Malaysia berjaya kekal pada paras tertinggi iaitu pada jajaran 1,750-1,800 mata. Ada saham-saham yang sudah naik semula lebih 50 peratus daripada harga panik terendah pada 16 Disember 2014.
Walaupun begitu, saya menjangkakan peluang hebat untuk tawar-menawar saham yang berkualiti tetap masih ada untuk beberapa bulan mendatang manakala separuh kedua ekonomi domestik dijangka semakin rancak dan pasaran saham akan mendapat rentak meneruskan aliran menaiknya dengan lebih stabil.
Tahun 2015 adalah tahun terbaik kepada pelabur baru dan janganlah lambat bertindak kerana bukan selalu pasaran saham berada dalam keadaan yang betul-betul negatif seperti sekarang ini. Pendek kata, ghairah sebelum orang lain ghairah sebagaimana bijaknya mereka yang membeli tanah di Sepang suatu ketika dahulu.
Pelabur boleh memilih untuk fokus kepada saham yang terbabit dengan dunia teknologi maklumat (IT) kerana perniagaan dan kehidupan hari ini memerlukan teknologi sehinggakan ramai yang bangun pagi mula mencari telefon dan melihat status ‘Whatsapp’ mahupun ‘Facebook’.
Pembayaran bil api dan air, kad kredit, pinjaman perumahan melalui perkhidmatan pembayaran atas talian dan ini tidak termasuk permainan atas talian, membaca novel dan memuat turun ayat al-Quran. Semuanya berkaitan IT apabila ia dekat dengan kita sehingga lampu picit pun ada di telefon bimbit.
Saya suka katakan 2015 adalah tahun ‘peluang terhidang’ bukan sahaja kepada pelaburan saham, tetapi pada mereka yang bijak mencari peluang di sebalik masalah kehidupan. Rebut peluang membeli dan mencari saham berkualiti bukan sahaja dalam sektor teknologi tetapi pada sektor seperti kesihatan, barangan pengguna dan pembinaan dengan membuat penilaian sewajarnya.
Beli saham kerana anda faham akan perniagaan dan potensinya serta bukan kerana nama saham yang popular dan ikut-ikutan dengar orang bagi tips ataupun info-info dalaman.
Beli buku dan luangkan masa hadir ke kelas saham percuma mahupun berbayar yang dianjurkan oleh syarikat broker saham mahupun penceramah berpengalaman. Ini kerana kerugian dalam pasaran saham mungkin adalah ‘tuisyen fees’ yang termahal di dunia sebelum mengecapi keuntungan.
Tahun 2015 adalah fasa penting bagi kita semua menempatkan diri dalam kelompok yang berasa pembangunan kemajuan tahun 2020. Sebagai pelabur, jangan malas untuk mengkaji dengan catatan, jangan leka dan berasa selesa dan sering pula menyalahkan keadaan. Ubahkan mentaliti buruk yang bersarang dalam diri kepada lebih positif kepada lebih banyak buat kajian secara catitan sebelum sesuatu keputusan pelaburan dibuat.
Akhir kata, ‘PELUANG TERHIDANG 2015’ akan ada kepada mereka yang bersiap sedia. Niatkan yang baik dan biasakan membuat keputusan dengan mencatat terlebih dahulu, Insha Allah 2015 adalah tahun yang bakal mengejutkan pelabur dan penganalisis yang negatif akan pasaran saham.
Penulis
Zamsaham Norizam 2 Feb 2015
Harian Metro Ruangan BIsnes